Menyambung Legasi Ilmu, Merintis Laluan ke Al-Azhar
Penubuhan Institut Pengajian Bahasa Arab (IBRAZ) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) merupakan hasil kerjasama strategik antara dua negara — Malaysia dan Mesir — dalam usaha memperkasa penguasaan Bahasa Arab dalam kalangan bukan penutur jati di rantau ini.
Detik bersejarah ini dimeterai pada 11 November 2024 menerusi persetujuan rasmi antara YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia dan Syeikh al-Azhar, Tuan Yang Terutama Prof. Dr. Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb, ketika lawatan negara ke Mesir.
Atas semangat memperkukuh hubungan dua hala dalam bidang pendidikan Islam dan Bahasa Arab, IBRAZ ditubuhkan sebagai pusat sehenti rasmi bagi pelajar Malaysia yang ingin menyambung pengajian ke Universiti al-Azhar al-Sharif.
Hari ini, IBRAZ bukan hanya menjadi pintu masuk ke Al-Azhar, malah turut meluaskan peranan dalam menganjurkan pelbagai kursus jangka pendek Bahasa Arab untuk golongan profesional, guru, pelajar dan komuniti umum — sejajar dengan aspirasi USIM untuk melahirkan masyarakat celik bahasa Arab dan berjiwa global.


